Analisis Berakhirnya Perang 12 Hari Israel-Amerika Syarikat dan Iran
Setelah berakhirnya perang selama 12 hari, penulisan ini akan menganalisa kekuatan dan kelemahan Iran dalam mempertahankan kedaulatannya dari serangan Israel dan Amerika Syarikat.
Donald Trump akhirnya menyerah kalah dan mengumumkan bahawa perang Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran berakhir pada 24 Jun 2025.[1] Perkara ini sangat menarik bagi saya, ia menunjukkan bertapa lemahnya empayar Amerika Syarikat hari ini. Dalam perang melawan Yaman, Amerika Syarikat hanya mampu bertahan selama 30 hari, ternyata Iran lebih gagah kerana Amerika Syarikat hanya mampu bertahan selama 12 hari sahaja.[2] Serangan peluru berpandu Iran hampir setiap hari merobek Israel selama 12 hari berturut-turut. Iran juga menyasarkan serangan ke atas markas Amerika Syarikat di Al-Udeid, Qatar, serangan-serangan ini ternyata menyebabkan Amerika Syarikat menanggung kos pertahanan yang sangat tinggi yang tidak mampu dihadapinya.
Pengumuman genjatan senjata ini juga memperlihatkan keadaan Trump yang kelihatan seperti badut. Beberapa jam selepas Trump mengumumkan genjatan senjata bersendirian, Iran menghantar peluru berpandu dan menyasarkan Beersheva. Serangan Iran ini telah membunuh 4 penduduk haram Israel.[3] Bagi Iran, mereka harus menunjukkan bahawa kapasiti peluru berpandu mereka masih kukuh bagi menafikan naratif Israel bahawa mereka telah mencapai objektif perang bagi memusnahkan program nuklear dan program peluru berpandunya. Trump kemudian telah menulis tweet kemarahannya kepada Israel kerana masih menghantar jet untuk mengebom Tehran.[4] Situasi ini memperlihatkan Trump seperti badut kerana tiada siapa peduli dengan "tweet" beliau. Namun menurut Prof. Asad Abu Khalil, tulisan Trump ini menunjukkan beliau lebih berani memarahi Israel secara terbuka.[5] Tidak seperti Obama, Biden, dan Harris yang menjadi anjing yang setia kepada Israel.
Perang 12 hari ini dengan jelas menunjukkan kemenangan Iran, menurut Alon Mizrahi, penganalisis politik dari Israel, kemenangan ini dapat dilihat dari rekasi rakyat. Penduduk di Tehran keluar menyambut kemenangan ini dengan penuh kegembiraan di jalan-jalan. Di Tel Aviv pula, tiada siapa yang menyambutnya sebagai kemenangan.[6] Ini menunjukkan bahawa kempen penjenayah perang Netanyahu tidak berjaya menaikkan moral rakyatnya.
Kemenangan Iran juga dapat diukur dari keupayaannya mempertahankan diri dari serangan Israel dan Amerika Syarikat. Walaupun Iran mengalami kejutan pada hari pertama serangan, tenteranya mula merangka strategi dan mengubah suasana perang. Iran berjaya membedil kawasan-kawasan strategik di Israel setiap hari membawa kepada kerosakan yang teruk. Kerugian pada infratruktur Israel selama 12 hari berperang dianggarkan berjumlah 1.47 billion dollar.[7] Iran berjaya mempertahankan kedaulatannya dan mengelak dari mengalami nasib seperti Iraq, Libya, dan Syria. Serangan Iran begitu kuat hingga Donald Trump sendiri mengakuinya dengan berkata:
“Israel got hit very hard, especially the last couple of days. Israel was hit really hard. Those ballistic missiles, boy they took out a lot of buildings.”[8]
Ada dua objektif yang ingin dicapai oleh Israel, jika mereka mencapai kedua-dua objektif ini, Israel boleh dikatakan sebagai pemenang. Pertama, memusnahkan keupayaan Iran bagi menghasilkan teknologi nuklearnya sendiri. Objektif pertama ini ternyata tidak tercapai. Donald Trump menyatakan agen Israel telah pergi ke Fordow selepas serangan dilakukan dan mendapati ia telah musnah.[9] Namun kenyataan Trump ini bercanggah dengan laporan perisikan Amerika Syarikat sendiri yang didedahkan. Laporan perisikan Amerika Syarikat mendapati bekalan Uranium Iran tidak terjejas dan centrifuges yang dibangunkan selama ini kekal tidak berjaya dimusnahkan. Mereka juga mendapati kerosakan pada fasiliti nuklear Iran sangat terhad dan fasiliti utama seperti Fordow tidak berjaya dimusnahkan. Laporan itu menyimpulkan bahawa serangan 12 hari tersebut hanya memberi kesan kecil yang akan melambatkan program nuklear Iran selama beberapa bulan sahaja.[10] Ternyata objektif pertama ini telah gagal.
Menurut ketua Agensi Tenaga Atom Iran, Mohammad Eslami, Iran akan membaik pulih fasiliti nuklearnya yang terjejas dalam masa terdekat bagi memastikan proses produksi tidak terjejas.[11] Dalam kata lain, kerosakan yang dilakukan akibat serangan akan dipulihkan semula dan Iran akan kembali menjalankan program nuklearnya. Ini tidaklah bermakna Iran langsung tidak mengalami apa-apa kerosakan, kerosakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel diakui oleh Iran.[12] Namun ia adalah kerosakan yang boleh dipulihkan. Menurut agensi perisikan Israel, Mossad, kerosakan ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk dipulihkan, Mossad juga mengucapkan terima kasih kepada CIA yang membantu operasi memusnahkan fasiliti nuklear Iran.[13] Apa yang rosak hanyalah fasiliti, bukan keupayaan nuklear. Menghapuskan keupayaan nuklear Iran merupakan objektif utama yang digunakan oleh Israel dan Amerika Syarikat untuk mengabsahkan peperangan mereka dan menggunakan kekerasan ke atas Iran. Ternyata ia gagal.
Objektif kedua yang diharapkan Israel melalui perang selama 12 hari adalah memusnahkan keupayaan peluru berpandu Iran, Netanyahu menyatakan bahawa Iran mempunyai 20,000 peluru berpandu balistik. Israel menyatakan ia berjaya memusnahkan kebanyakan industri peluru berpandu Iran. Namun kenyataan ini bercanggah dengan kebolehan yang ditunjukkan Iran, sehingga hari terakhir, Iran terus melancarkan peluru berpandu ke atas Israel dan berjaya menembusi sistem pertahanan udaranya. Di hari terakhir, Iran berjaya membedil Beersheva. Ini menunjukkan bahawa kapasiti peluru berpandu Iran kekal dominan.[14] Objektif kedua ini turut gagal. Kegagalan Israel mencapai kedua-dua objektif ini turut diakui oleh Mark Fitzpatrick, bekas diplomat Amerika Syarikat. Oleh itu beliau menjangkakan genjatan senjata ini hanya bersifat sementara.[15]
Objektif sebenar yang cuba dicapai oleh Amerika Syarikat dan Israel adalah “regime change”. Iaitu mengubah pemerintah Iran sedia ada kepada kerajaan baharu yang lebih mesra Israel dan Amerika Syarikat. Walaupun objektif ini tidak dilaungkan secara terbuka, ini dapat dilihat dari usaha mempromosikan Reza Pahlavi sepanjang 12 hari perang. Reza Pahlavi yang merupakan anak Shah Iran yang menjadi boneka Amerika Syarikat telah ditayangkan kemunculannya di seluruh media arus perdana.[16] Pahlavi menyeru rakyat Iran menggulingkan kerajaan. Menurut penganalisis geo-politik, Prof. John Mearsheimer, operasi regime change Israel dan Amerika Syarikat ini ternyata gagal, malah menatijahkan kesan sebaliknya di mana rakyat Iran bersatu dibawah satu bendera (rally around the flag) dan mempertahankan tanah air mereka.[17] Menurut Mearsheimer lagi, operasi menukar kerajaan tidak pernah berjaya hanya melalui kempen pengeboman dari udara.
Selain kekalahan Amerika Syarikat dan Israel untuk mencapai objektif perangnya. Iran juga dilihat berjaya memenangi hati dan minda penduduk dunia. Fenomena ini dapat dilihat dengan tersebarnya lagu berjudul Boom Boom Tel Aviv yang dihasilkan oleh Lucas Gage. Lagu ini mendedahkan bagaimana dunia menyambut baik serangan balas Iran ke atas Israel sebagai balasan ke atas jenayah genosida yang Israel lakukan di Gaza.
Walaupun secara keseluruhannya Iran boleh dikatakan berjaya mempertahankan kedaulatannya dari 2 kuasa nuklear yang menyerangnya, Iran juga perlu belajar dari kesilapan yang berlaku sepanjang perang ini. Iran perlu mempertingkatkan keupayaan peluru berpandunya dan mengelakkannya dari dipintas oleh musuh. Masa pelancaran juga perlu dipendekkan bagi mengelakkannya dari menjadi target musuh. Iran juga perlu memperbaiki pertahanan udaranya dengan mewujudkan beberapa lapis pertahanan. Jika lapisan pertama berjaya dilumpuhkan, lapisan kedua dan ketiga yang independent boleh diaktifkan. Iran juga perlu memikirkan bagaimana untuk membina fasiliti nuklear yang lebih strategik yang sukar diserang. Ini dapat dilakukan dengan membina fasiliti di pelbagai lokasi serta membina fasiliti bawah tanah seperti di Fordow di lokasi-lokasi lain. Akhir sekali, Iran juga perlu memperbaiki kebolehan counter-intelligence. Ini kerana pada hari serang hendap, Iran dengan mudah diceroboh oleh agensi perisikan Mossad. Dengan apa yang berlaku, Iran perlu membina kebolehan risikan mereka di dalam Israel, bagi memastikan mereka tidak jatuh kepada serangan hendap di masa akan datang.
[1] Tucker Reals, Fin Daniel Gomez, Haley Ott, dan Joe Walsh. “Trump says Iran-Israel ceasefire in effect after accusing both sides of violating it”. CBS News, 24 Jun 2025. Pautan: https://www.cbsnews.com/news/israel-says-iran-violating-ceasefire-trump-announced-will-respond-with-force/
[2] Bagi memahami kekalahan Amerika Syarikat di Yaman, lihat analisis saya, Syed Ahmad Fathi. “Mengapa Amerika Syarikat Menyerah Kalah di Yaman?” Analisis Perang di Substack, 18 Mei 2025. Pautan: https://syedahmadfathi.substack.com/p/mengapa-amerika-syarikat-menyerah
[3] Eden Solomon et. Al. “Four Israelis Killed in Iranian Missile Attack on Be'er Sheva Identified, Including IDF Soldier”. Haaretz, 24 Jun 2025. Pautan: https://www.haaretz.com/israel-news/2025-06-24/ty-article/.premium/four-israelis-killed-as-iranian-missile-hits-beer-sheva-two-were-inside-in-home-shelter/00000197-a0d1-d4d3-a1bf-a6d973150000
[4] Trump menulis “Israel. Do not drop those bombs. If you do it is a major violation. Bring your pilots home, now! Donald J. Trump, president of the United States”. Lihat: https://www.facebook.com/photo?fbid=23914240174907466&set=pcb.23914303544901129
[5] Lihat kenyataan Asad Abu Khalil: https://x.com/asadabukhalil/status/1937467240762491191/photo/1
[6] Lihat kenyataan Alon Mizrahi pada 25 Jun 2025: https://x.com/alon_mizrahi/status/1937702394617581853
[7] Zev Stub. “Cost of damages from Iran war forecast at double October 7 and ensuing attacks”. The Times of Israel, 24 Jun 2025. Pautan: https://www.timesofisrael.com/cost-of-damages-from-iran-war-forecast-at-double-october-7-and-ensuing-attacks/
[8] Lazar Berman. “Trump says Israel sent agents into Iran’s Fordo nuclear site, saw ‘total obliteration’”. The Times of Israel, 25 Jun 2025. Pautan: https://www.timesofisrael.com/trump-says-israel-sent-agents-into-irans-fordo-nuclear-site-saw-obliteration/ . Lihat juga rakaman di pautan: https://x.com/s_m_marandi/status/1937871189650645422
[9] Trump menyatakan kemusnahannya bersifat “total obliteration”. Lihat laporan Lazar Berman. “Trump says Israel sent agents into Iran’s Fordo nuclear site, saw ‘total obliteration’”. The Times of Israel, 25 Jun 2025.
[10] Itamar Eichner. “US intelligence assessment: Iran’s nuclear program delayed by only a few months”. Ynet News, 25 June 2025. Pautan: https://www.ynetnews.com/article/sjuanf004lx
[11] Lazar Berman. “Tehran will restore its nuclear program, Iranian atomic chief vows”. The Times of Israel, 24 Jun 2025. Pautan: https://www.timesofisrael.com/tehran-will-restore-its-nuclear-program-iranian-atomic-chief-vows/
[12] LIhat pengakuan yang dibuat oleh jurucakap Menteri Luar Iran, Esmaeil Baghaei kepada Al Jazeera. Pautan:
[13] Nava Freiberg dan Emanuel Fabian “Mossad hails Israel’s ‘historic’ Iran offensive, thanks CIA in rare public message”. The Times of Israel, 26 Jun 2025. Pautan: https://www.timesofisrael.com/mossad-hails-israels-historic-iran-offensive-thanks-cia-in-rare-public-message/
[14] Lihat analisis Ali Abunimah perihal kekalahan Israel berdasarkan dua objektif perang ini dalam “Iran won, Israel lost”. The Electronic Intifada, 25 Jun 2025. Pautan: https://electronicintifada.net/blogs/ali-abunimah/iran-won-israel-lost
[15] Lihat kenyataan Mark Fitzpatrick di pautan:
[16] Lihat misalnya rancangan yang diterbitkan oleh Bloomberg pada 17 Jun 2025 bertajuk “Iran Regime ‘On the Verge of Collapse’: Reza Pahlavi, Son of Last Shah of Iran”. Pautan: https://www.bloomberg.com/news/videos/2025-06-17/iran-regime-on-the-verge-of-collapse-reza-pahlavi-video
[17] Lihat pandangan Prof. John Mearsheimer di pautan:





